Tuesday 29 November 2011

BAHASA & KOGNISI




 
PENGENALAN

Bahasa merupakan alat berkomunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal. Keupayaan berbahasa dengan baik membolehkan seseorang itu berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi.

Kanak-kanak keperluan khas bermasalah pembelajaran memang diakui mengalami masalah dalam bahasa kemahiran berbahasa. Justeru mereka mengalami masalah untuk mengikuti pelajaran dan juga berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Guru perlu memahami masalah yang dihadapi pelajarnya supaya ia dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Secara keseluruhan, mata pelajaran ini akan tertumpu kepada strategi dan kaedah pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar-pelajar masalah pembelajaran. Manakala tajuk ini pula akan membincangkan tentang pengenalan bahasa yang meliputi pemerolehan bahasa, komponen bahasa, dan jenis bahasa.


PENGENALAN BAHASA

Sebagai manusia kita sentiasa menggunakan bahasa untuk berinteraksi sesama sendiri. Kemampuan kita menguasai bahasa akan membolehkan kita menyampaikan pendapat atau perasaan dengan lebih baik lagi. Malah haiwan juga dikatakan mempunyai bentuk ”bahasa” mereka yang tersendiri untuk berkomunikasi sesama mereka.

Kita sering menyebut perkataan ”bahasa”, tapi apakah makna bahasa sebenarnya? Bagaimanakah bahasa itu diperolehi? Apakah yang ada dalam bahasa itu sendiri? Semua ini perlu kita ketahui sekiranya kita mahu menjadi seorang pengguna bahasa yang baik dan cekap.
 
Definisi Bahasa

Tedapat berbagai-bagai definisi bahasa yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga linguistik. Di antaranya adalah seperti berikut:

  1. "Bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu.”
(Reed, C.A., 1994)
  1. ”Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.”
(Simanjuntak, 1978)
  1. ”Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.”
(Bloom, 1988)


Daripada definisi bahasa di atas, jelas bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964), arbitrari bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and that which is symbolized…”

Bagi menjelaskan lagi maksud sewenang-wenang atau arbitarari ini, Asmah Hj. Omar (1986) menerangkan bahawa unit yang kita tuturkan sebagai “rumah” itu bukanlah benda yang konkrit yang mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Dengan itu benda-benda yang konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai lambang-lambang lain. Misalnya bait ( bahasa Arab), house (bahasa Inggeris), het huis (bahasa Belanda), griya (bahasa Jawa halus), dan walay (bahasa Kadazan), dan sebagainya.

 

Komponen Bahasa

Bagi menguasai kemahiran bahasa dengan baik, anda perlu memahami komponen bahasa secara menyeluruh. Kemahiran menggunakan kesemua komponen bahasa amat penting untuk suatu komunikasi yang berkesan.

Bahasa terdiri daripada beberapa komponen. Istilah-istilah lain yang digunakan selain komponen adalah seperti unsur, elemen, parameter, dan ada juga yang menggunakan istilah aspek. Kesemua ini adalah bertujuan untuk memecahkan bahasa kepada bahagian-bahagian untuk dijelas dan dibincang. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

Bentuk Bahasa
 
Fonologi

Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Apabila kita menyebut perkataan-perkataan, kita dapat membezakan bunyi di antara perkataan tersebut dan seterusnya pula membezakan maknanya. Misalnya perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza.


Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat.

Arbak ( ) menjelaskan bahawa morfem bebas (kata akar) adalah morfem yang tanpa bantuan dari morfem lain sudah dapat berdiri sebagai perkataan. Manakala morfem terikat (imbuhan) pula adalah morfem yang hanya memberi erti setelah diimbuhkan dengan morfem lain. Morfem terikat tidak dapat berdiri sebagai perkataan. Misalnya perkataan berlari, ber- adalah morfem terikat dan ia memerlukan lari untuk membentuk perkataan berlari. Di sini lari adalah morfem bebas dan ia boleh berdiri dengan sendiri sebagai perkataan tanpa bantuan morfem lain.

Sumber: http://anuarsped.blogspot.com/2009/04/pengenalan-bahasa.html


 

0 comments:

Post a Comment